Pages

Tuesday, July 12, 2016

Apakah maksud Penyelidikan Saintifik?

Pelajar, guru, pensyarah dan penyelidik tidak akan terlepas daripada membuat penyelidikan. Sebelum kita membuat penyelidikan...suatu yang menjadi tanda-tanya, adakah penyelidikan yang kita jalankan adalah penyelidikan saintifik? Adakah anda memahami definisi penyelidikan saintifik? Oleh itu, dalam post saya minggu ini..saya ingin berkongsi dengan semua definisi dan konsep penyelidikan saintifik. Ia adalah sebahagian nota metodologi penyelidikan yang terdapat dalam simpanan saya. Moga ia bermanafaat.


PENYELIDIKAN SAINTIFIK

Penyelidikan saintifik adalah penyelidikan yang dijalankan secara tersusun, sistematik dan mempunyai pembolehubah yang terkawal. Penyelidikan saintifik bersifat empirikal iaitu perlu ada eviden/bukti tentang pernyataan-pernyataan yang dibuat melalui analisis data dan maklumat yang dikumpul untuk membuktikan suatu hipotesis atau teori.



Penyelidikan saintifik melibatkan :

a) pengukuran

b) kebolehpercayaan (reliability)

c) kesahihan (validity)

d) kawalan pembolehubah

e) kerawakan (randomization) sampel

f) generalisasi hasil kajian


Kita lihat konsep setiap aspek:

a) Pengukuran

Proses memberi nilai kepada pembolehubah untuk membolehkan pengkaji membuat analisis data dan seterusnya dapat membuat kesimpulan bagi penyelidikan yang dilakukan.


b) Kebolehpercayaan

Ciri-ciri pengukuran yang dapat memberi nilai atau gambaran yang sama apabila diuji pada sampel yang berlainan. Walaubagaimana pun, semua pengukuran terdapat ralat (error). Semakin kecil ralat yang diperolehi, semakin tinggi kebolehpercayaan alat ukur (instrumen) yang digunakan. Contoh instrument kajian ialah soal selidik.


c) Kesahihan

Kebolehan suatu instrumen untuk mengukur pembolehubah tertentu. Contoh, pembaris meter hanya sesuai untuk mengukur panjang dan tidak sesuai untuk mengukur suhu. Oleh itu pembaris mempunyai kesahihan yang tinggi apabila digunakan untuk mengukur panjang dan mempunyai kesahihan yang sangat rendah jika digunakan untuk mengukur suhu. Pengkaji perlu mengenalpasti instrumen yang digunakan mempuyai kesahihan yang tinggi untuk mengukur suatu pembolehubah supaya data yang diperoleh lebih tepat.


d) Kawalan pembolehubah

Konsep asas penyelidikan saintifik yang lebih bersifat kajian berbentuk eksperimen. Pembolehubah boleh dibahagikan kepada pembolehubah manipulasi (manipulated variable), pembolehubah bergerak balas (responding variable) dan pembolehubah yang dimalarkan (fixed variable). Ia juga dikenali sebagai pembolehubah bersandar dan pembolehubah bebas. Pengkaji yang ingin membuat kajian perlu mengenal pasti dahulu pembolehubah-pembolehubah yang terlibat. Kemudian mengkategorikan mbolehubahpembolehubah tersebut mengikut kajian yang akan dijalankan.

Bagi semua penyelidikan saintifik berbentuk eksperimen, pengkaji perlu membuat satu ekperimen kawalan untuk melihat kesan sebenar keatas eksperimen tersebut. Bagi melihat keberkesanan baja organik ke atas penghasilan buah betik, kita perlu ada sebatang pokok betik yang tidak diberi baja organik. Satu pokok lain diberikan baja. Kemudian pengkaji akan bandingkan penghasilan buah betik dari kedua-dua pokok tersebut.


e) Kerawakan sampel

Teknik pemilihan sampel secara rawak berasaskan semua sampel mempunyai kemungkinan yang sama untuk dimasukkan dalam kumpulan eksperimen atau kumpulan kawalan. Pemilihan sampel yang baik secara rawak dapat menghasilkan suatu kajian yang representatif kepada satu populasi di mana kajian dilakukan.


f) Generalisasi hasil kajian

Biasanya diperoleh di akhir kajian yang memberi gambaran sama ada kesimpulan kajian yang dihasilkan dapat mewakili (representatif) kepada kumpulan sampel atau populasi yang berlainan. Hasil kajian yang dilakukan boleh dibuat generalisasi yang baik jika perkara-perkara di atas telah diambil kira sepanjang kajian itu dilakukan.

Selepas ini..post yang seterusnya pula kita lihat pula konsep dalam penyelidikan saintifik yang menjurus kepada elemen-elemen yang perlu ada dalam penyelidikan saintifik. Sekiranya ada komen atau pendapat untuk dimasukkan dalam post selepas ini..bolehlah kemukakan dalam kotak chat di sebelah.

Selamat berkongsi ilmu....

3 comments:

  1. As salam,
    Boleh saya tahu apakah elemen-elemen saintifik dalam kaedah penyelidikan saintifik dan mengapa ianya penting?
    Terima Kasih :)

    ReplyDelete
  2. Hi boleh dapatkan rujukan x dari mana ????

    ReplyDelete
  3. apakah prinsip-prinsip penyelidikan? mohan pencerahan sedikit,terima kasih.

    ReplyDelete