Pages

Showing posts with label Methodologi Kajian. Show all posts
Showing posts with label Methodologi Kajian. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Kesahan (validity) dan Kebolehpercayaan (reliability)

Kesahan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability) instrumen amat penting bagi mempertahankan kejituan instrumen daripada terdedah kepada kecacatan. Semakin tinggi nilai dan tahap kesahan dan kebolehpercayaan instrumen maka semakin jitu data-data yang akan diperoleh bagi menghasilkan kajian yang baik dan berkualiti.


1. Kesahan Instrumen Soal Selidik (Kuantitatif).

Kesahan didefinisikan sebagai ketepatan (appropriateness), kebenaran (truthfulness), bermakna (meaningfulness) dan kebolehgunaan (usefulness) instrumen yang membolehkan data-data diinferenkan. Kesahan juga bermaksud ; persetujuan antara dua percubaan untuk mengukur trait yang sama secara maksimum dengan kaedah yang berlainan. Biasanya bagi instrumen soal selidik, seseorang penyelidik akan menggunakan teknik Criterion – Related Evidence untuk mengumpulkan bukti (collecting evidence) terhadap kesahan instrumen melalui sekumpulan pakar rujuk (expert judgment). Dengan itu penyelidik akan melantik beberapa orang pakar untuk mengesahkan instrumen kajian.


2. Kesahan Instrumen Temu Bual Dan Pemerhatian (Kualitatif)

Bagi kajian penyelidikan yang menggunakan pendekatan kualitatif melalui temu bual, pemerhatian dan dokumen dalam usaha pengkaji untuk mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat atau data, penggunaan teknik triangulasi itu sendiri telah dapat memperkukuhkan kesahan kajian. Penggunaan teknik triangulasi (soal selidik, temu bual dan pemerhatian) yang digunakan secara serentak dalam sesuatu kajian hendaklah dibuat dalam bentuk equivalent form (kriteria dan konstruk item yang sama dalam pelbagai jenis instrumen).

Penggunaan teknik triangulasi seperti pungutan data-data yang diperoleh melalui sumber dokumen bukan sahaja boleh menyokong dan menambahkan bukti daripada pelbagai sumber lain, tetapi juga menolong mengesahkan maklumat yang didapati daripada temu bual dan pemerhatian. Keesahan dalam kajian berbentuk kualitatif (penggunaan temu bual, pemerhatian dan dokumen sebagai instrumentasi) tidak hanya tertumpu kepada hasil kajian tetapi keseluruhan proses penyelidikan.

Bagi seseorang penyelidik yang menggunakan kaedah survey, maka kesahan dalaman (internal validity) dan kesahan criteria (criteria validity) digunakan serentak bagi maksud membuat kesalahan kepada instrumen temu bual. Kesahan dalaman dilihat daripada aspek manipulatif kawalan dalam hubungan variabel-variabelnya. Dengan itu, teknik morale ballot dan cross-checking digunakan kedua-duanya serentak bagi memperkukuhkan nilai kesahan terhadap data, khususnya dalam temu bual. Atas saranan ini, biasanya penyelidik akan menggunakan dua orang informan (seorang lelaki dan seorang wanita) bagi setiap kajian bagi tujuan temu bual.

Manakala kesahan kriteria dalam temu bual dicapai melalui menemu bual individu yang benar-benar memiliki pengetahuan dan maklumat terhadap bidang kajian pengkaji. Biasanya bagi tujuan ini pula, penyelidik akan menemu bual beberapa orang informan dalam lokasi kajian yang berlainan asalkan sama ciri dan sifatnya. Manakala kesahan dalam pemerhatian dibuat melalui teknik kesahan konstruk (construct validity) iaitu dengan cara mengkategorikan peristiwa-peristiwa yang diperhatikan kepada beberapa kelompok (clusters) bagi variabel yang dikehendaki, kemudian membandingkan pemerhatian yang lalu dengan pemerhatian sekarang.


Tujuan penyelidik membuat kesahan instrumen adalah bagi menjamin keesahan

item-item (instrumen) agar bersifat ;

i. Defensibility (dapat dipertahankan – hasil kajiannya tepat dan berguna)

ii. Accuracy (ketepatan – menjawab persoalan kajian)

iii. Appropriatetness (kesesuaian – relevan dengan tujuan kajian)

iv. Meaningfulness (bererti – memberi makna terhadap data melalui skor)

v. Usefulness (kebolehgunaan – mampu membuat keputusan berhubung dengan apa yang cuba dicari atau dihasilkan kerana keputusan dari penilaian tersebut boleh menyediakan maklumat yang bermakna mengenai tajuk dan pembolehubah yang hendak diukur untuk menginferenkan data kajian).


* Esei ini diedit semasa kuliah methodology Dr Zawawi Ismail & Dr. Hj Ghazali Darussalam  di Universiti Malaya. Alhamdulillah subjek ini dapat 'A'...

Wednesday, March 9, 2011

Teknik Delphi : Satu Method Kajian

Teknik Delphi digunakan untuk kajian saya kerana teknik Delphi adalah merupakan kaedah yang terbaik untuk memperoleh persetujuan pakar dalam menentukan elemen-elemen yang boleh dimasukkan dalam reka bentuk modul tersebut.


Pendapat pakar digunakan untuk kajian-kajian yang melibatkan pembangunan sesuatu model atau produk telah bermula di RAND Corporation oleh Olaf Helmer dan Norman Dalkey dalam tahun 1953 yang mengkaji masalah-masalah tertentu dalam tentera .Kaedah Delphi mempunyai tiga sifat yang istimewa iaitu ketelusan, maklum balas terkawal dan analisis statistik kumpulan.


Linstone dan Turoff (1975) membentuk lima asas utama Teknik Delphi adalah:


1) Sampel dipilih secara individu dan setiap sampel tidak mengetahui jawapan sampel lain dalam panel pakar;

2) Sampel hanya mengetahui jawapan sampel lain pada pusingan kedua apabila penyelidik melakukan analisis data dan menghantar dapatan tersebut kepada setiap ahli panel;

3) Sampel tidak menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak mahupun sampel lain dalam menentukan jawapan soal-selidik mereka;

4) Data dianalisis secara statistik;

5) Data yang diberi oleh sampel adalah tiada pilih kasih (tidak bias) dan dengan demikian panel memainkan peranan untuk mencari penyelesaian atau mencapai konsensus.


Dewasa ini, kaedah Delphi telah meluas penggunaannya dalam bidang perniagaan, pendidikan, sains sosial, pengurusan pentadbiran, penilaian polisi, perancangan program dan isu-isu yang memerlukan perhatian  .Pelbagai konsep yang diberikan berkaitan kaedah Delphi, antaranya cara sistematik yang menggabungkan keputusan individu bagi memperoleh satu kesimpulan bersama (Helmer,1968), satu kaedah untuk mendapatkan dan menyaring pendapat panel yang terdiri daripada pakar sesuatu bidang (Dalkey,1972), dan tatacara pengundian panel responden (Hill dan Fowles,1975).



Berdasarkan kepada definisi dan konsep kaedah Delphi, dapatlah dirumuskan bahawa melalui kaedah ini responden bebas memberi pendapat dan disoal beberapa pusingan melalui surat atau e-mel. Kaedah ini dapat menggantikan perbahasan secara langsung dengan reka bentuk program penyelidikan yang biasanya dijalankan melalui soal selidik. Teknik Delphi juga merupakan teknik yang efisien dalam membuat telahan suatu kajian pada masa hadapan. Melalui teknik ini pendapat atau pandangan sekumpulan pakar dapat diperoleh tanpa perlu bersemuka di antara satu sama lain. Teknik ini digunakan untuk sesuatu bidang kajian atau program yang baru dan perlu diterokai pada masa hadapan serta belum dibangunkan lagi. Ia mengambil kira pandangan sekumpulan pakar dan tidak mempunyai teori yang bersifat formal. Penggunaannya yang sangat meluas dan menyeluruh dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan.


* Saya akan cuba uploadkan artikel yang berkaitan dengan method ini.